Sebagaimana yang kita ketahui, hasad dengki merupakan salah satu sifat mazmumah yang dilarang dan ditegah dalam Islam. Walaupun begitu, tanpa kita sedari ataupun tidak, terdapat juga hasad dengki yang bukan sahaja dibenarkan malah digalakkan. Jadi, sifat hasad boleh dibahagikan kepada dua iaitu, hasad yang dilarang dan hasad yang dibenarkan.
- HASAD DENGKI YANG DILARANG DALAM ISLAM
Imam al-Gazali juga membahagikan hasad dengki yang dilarang itu kepada tiga jenis. Jenis yang pertama adalah seseorang menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang dan digantikan kepadanya. Contoh yang mudah ialah seorang pencuri ingin mencuri harta orang yang kaya supaya orang yang kaya tersebut menjadi miskin manakala si pencuri menjadi kaya dengan harta yang dicuri dari orang kaya tersebut.
Jenis sifat hasad dengki yang kedua pula ialah seseorang yang menginginkan agar kenikmatan orang lain itu hilang sekalipun ia tidak dapat menggantikannya, baik kerana merasa mustahil dirinya akan dapat menggantikannya atau memang kurang senang memperolehinya atau sebab lain. Asal orang itu jatuh, ia gembira. Ini lebih jahat daripada dengki yang pertama kerana sanggup melepaskan kenikmatan tersebut supaya dirinya dan juga orang yang didengkinya itu sama-sama tidak dapat mengecapi nikmat yang didengkinya itu.
Seterusnya jenis dengki yang ketiga ialah seseorang yang tidak ingin kalau kenikmatan orang lain itu hilang tetapi ia benci kalau orang itu mendapat kenikmatan lebih daripada kenikmatan yang dimilikinya. Contohnya dua orang yang saling bersaing antara satu sama lain dalam perniagaan. Salah seorang daripada mereka sudah semestinya tidak ingin melihat jika lawannya mendapat keuntungan lebih daripadanya.
- HASAD DENGKI YANG DIHARUSKAN DALAM ISLAM
Namun demikian, masih terdapat ciri-ciri dengki yang dibenarkan dalam Islam. Dengki yang diharuskan hanyalah dengki yang menjadikan manusia itu berebut-rebut untuk melakukan kebaikan seperti berlumba-lumba menuntut ilmu atau berlumba-lumba melakukan ibadat dan yang sepertinya. Dan Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
“Tidak boleh iri hati melainkan dalam dua perkara iaitu: Seseorang yang telah dikurniakan Allah s.w.t harta lalu dibelanjakan hartanya itu ke jalan yang benar (yang diredhai oleh Allah) dan orang yang dikurniakan oleh Allah s.w.t ilmu pengetahuan, lalu ia mengeluarkan sesuatu hukum berpandukan ilmunya (al-Quran dan Hadith) serta diajarkannya pula kepada orang lain.” (Riwayat Hadith al-Bukhari).
Melalui hadis Rasulullah diatas, kita dapat simpulkan bahawa, Islam menggalakkan umatnya untuk berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan dan ibadat seperti tolong-menolong, bersedekah dan sebaginya. Selain itu juga, Islam juga amat menggalakkan umatnya untuk menunutut ilmu pengetahuan sebanyak mungkin serta mengamalkan dan nengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Seseorang yang menyedari dirinya serba kurang, apabila melihat orang lain maju dan mendapat lebih nikmat maka ia berusaha bersungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh orang lain itu. Ini bukanlah dengki sebenarnya.
Dengki hanya dimiliki orang yang berjiwa rendah dan sifat itu mendorongnya berangan-angan kosong untuk mendapatkan kenikmatan yang dimiliki orang lain. Di dalam diri setiap manusia, memang ada keinginan kepada persaingan untuk melebihi atau mendapat nikmat yang sama. Sifat ingin bersaing secara sihat adalah halal. Ia dikenal sebagai ghibtah.
0 comments:
Post a Comment